Terbaru!! Banjir (flooding) di Kuala Krai Kelantan Disember 25 2014 - Rakaman Video Amatur beberapa jam yang lepas (Sumber: FB). Ya Allah selamatkanlah saudara2 kami di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang, Perak dan negeri2 lain yang dilanda bencana alam ini. Gambar Thumbnail adalah di Petronas dan Caltex Simpang Kuala Krai / Gua Musang, Surau tu yang sebelah pasaraya PKT. Disaat genting seperti sekarang, ketepikan segala masalah politik & perkauman. Marilah sama-sama kita membantu antara satu sama lain. Polis Kelantan menafikan laporan bahawa Kelantan telah diisytihar darurat ekoran banjir yang semakin buruk. Hampir 30,000 orang telah dipindahkan. Kawasan yang paling teruk adalah Kuala Krai disebabkan limpahan air daripada Gua Musang. Pihak media digesa supaya berhati2 dan tidak menyebarkan berita palsu dan memburukkan situasi. Pengarah jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman mengesahkan bahawa pihak mereka telah berjaya sampai ke sebuah sekolah di Manek Urai yang sebelum ini tidak dapat sampai di lokasi berkenaan. Kedua2 pasukan bomba ini akan akan menilaikan faktor risiko untuk memindahkan mangsa2 tersebut ke tempat yang lebih tinggi dan selamat. Berita Selanjutnya: KOTA BHARU 25 Dis. - Lebih 400 mangsa banjir yang terpaksa mendiami tingkat tiga Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama di Kuala Krai berikutan air menenggelamkan sehingga tingkat dua bangunan berkenaan, sejak lima hari lepas, dilaporkan selamat. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bekalan makanan yang terputus akibat kesukaran pasukan penyelamat sampai ke sekolah yang dijadikan pusat pemindahan, akibat cuaca buruk dan arus deras itu, telah dapat diatasi apabila dua bot Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya tiba di sekolah itu malam tadi dengan membawa makanan dan keperluan harian lain. “Keadaan banjir didapati bertahan di Jajahan Kuala Krai hari ini, ini membolehkan usaha penghantaran bekalan makanan agak mudah,” katanya dihubungi Bernama ketika turun padang meninjau keadaan banjir yang melanda jajahan itu yang disifatkan paling kritikal. Jajahan Kuala Krai dianggap kritikal berikutan banyak mangsa yang terperangkap ekoran air naik mendadak dengan arus deras serta laluan Kota Bharu-Kuala Krai terputus akibat banjir sehingga tidak boleh dilalui semua kenderaan. Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, selain sekolah berkenaan, terdapat 28 lagi lokasi di jajahan itu yang penduduknya terperangkap akibat banjir dan kerajaan melalui pelbagai agensi bekerja keras untuk menghantarkan bantuan terutama makanan. “Lokasi berkenaan termasuklah sekolah, masjid, balai raya, malah ada yang menyelamatkan diri di atas bukit. Di lokasi-lokasi ini yang terputus hubungan terdapat ramai juga kanak-kanak dan warga emas. Pasukan penyelamat kita bertungkus lumus membantu mereka ini,” katanya. Beliau berkata, kerajaan menggunakan helikopter dan bot untuk menghantar bekalan makanan ke lokasi yang terputus laluan darat. Sementara itu, seorang mangsa yang terperangkap di SK Manek Urai Lama, Rahana Awang, 42, berkata keadaan mereka amat kritikal beberapa hari lalu kerana air naik mendadak sehingga mencecah tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan. “Apabila air hampir mencecah lantai aras tiga (aras terakhir), kami semua begitu cemas, Alhamdulillah air tidak naik sampai tingkat tiga,” katanya kepada Bernama melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) memandangkan bateri telefon bimbitnya terpaksa dijimatkan berikutan bekalan elektrik terputus. Beliau berkata perkara lain yang mencemaskan mereka ialah bekalan makanan yang hampir habis dan bantuan yang diminta daripada pihak berkuasa tidak kunjung tiba. Rohana menyifatkan banjir yang melanda jajahan itu adalah yang terburuk sehingga sekeliling bangunan sekolah kelihatan seperti lautan dan arus deras. “Malam tadi sahaja, kami tengok lapan buah rumah hanyut, (dan) yang terlekat di bangunan sekolah tiga buah... habislah rumah kami,” katanya yang bersyukur dengan bantuan makanan dan keperluan lain yang dibawa ATM ke sekolah itu, malam tadi. - Bernama http://www.utusan.com.my/berita/nasional/400-terperangkap-di-sk-manek-urai-lama-selamat-1.40818

Channel: Malaysia News

Related tags:

Connect with Fb